Perhatian

Amaran !!! Semua hasil kerja di dalam blog ini adalah hakmilik penulis. Adalah dilarang sama sekali untuk mengambil atau apa jua tujuan tanpa keizinan penulis blog. Sekiranya didapati berlaku kecurian, pihak kami tidak teragak-agak mengambil tindakan. Setiap tulisan khat di dalam blog ini mempunyai ciri-ciri rahsia yang tidak diketahui oleh orang lain melainkan penulisnya sahaja.

Rabu, 4 Februari 2009

Banyak Lagi pembaharuan dalam tulisan

Alhamdulillah,
Setelah kembali ceria setelah lama saya mengidap denggi, kini saya kembali semula untuk memuatkan kembali Hasil karya dalam blog ini. Beberapa pendekatan telah saya ubahkan dengan beberapa buah fikiran dari website lain mendorong saya untuk lebih aktif melibatkan diri dalam persembahan karya khat.
Pernah saya berpesan kepada ibu bapa saya, isteri saya semasa dalam keadaan denggi kronik baru-baru ni. Kalau andai matinya saya dalam tempoh ini, bukukan karya-karya yang saya tinggalkan dan wakafkan kepada pusat2 pengajian ilmu, manakala modalnya gunalah duit pampasan insurans nyawa saya. Memang melucukan bila segar balik, Allah masih mahukan saya berjuang membela Islam dengan kesenian.
Bagaikan Bernafas Kembali
Setelah saya berhenti menulis dalm 2 bulan akibat tangan menggigil, baru kini terasa nikmatnya kesihatan, dengan kesihatan ini, dapat saya lestarikan impian saya dalam memartabatkan kesyumulan Islam melalui melahirkan lagi Hadharah Ummah melalui Fan al-Islam.
Agak kecewa sedikit bila saya berada di Jakim, sebuah institusi agama, penulisan Khat seolah-olah tidak seberapa penting untuk diketengahkan. Banyak perjuangan yang telah saya usahakan bagi membuat satu devition mengenai kepentingan penyelarasan Khat di masjid-masjid, namun hasilnya agak leweh* ( kurang memuaskan ) namun, kekuatan saya kembali menyinar apabila Ketua Pengarah Jakim al-Fadhil Dato Wan Mohamad Bin Dato' Syeikh Abd Al-Aziz meletakkan satu prasyarat bagi penulisan Khat dalaman, semua karya bagi sesuatu program mesti dirujuk kepadanya, dan dia akan ketengahkan kepada Pengerusi Persatuan Khat Kebangsaan iaitu Ustaz Yusof Bakar, contoh semasa saya menyemak baris penulisan Khat nasakh masjid besi di Putrajaya, selepas semakan tersebut, penilaian akhir dibuat sendiri oleh Ustaz Yusof. Satu harapan baru muncul kini.
Perjuangan saya yang seterusnya kini adalah menyelaraskan semua penulisan khat bagi iklan atau banner backdrop dirujuk kepada persatuan seni Khat Kebangsaan. Insya Allah, pejuang-pejuang khat sekalian bakal mendapat tempat yang sewajarnya suatu masa nanti.
Kenapa Kita Tidak Membuat Akademik Khat Sebagaimana Madrasah Tahsin al-Khuttut Di Qaherah?
Satu persoalan sedang saya fikirkan semasa menulis blog ini, iaitu kenapa Malaysia belum mempunyai suatu inisiatif mewujudkan pengiktirafan penulisan Khat secara akademik? Memang benar kita mempunyai Yayasan Restu, namun itu sebagai sebuah wasilah kecil dan berbayar semestinya menjadikan minat individual kurang berminat, Bahkan ada yang mempersoalkan peluang kerjaya dengan khat masih belum wujud di Malaysia. Jadi belajar di Yayasan Restu bagi mereka sia- sia.
Pada pandangan saya, ini bukanlah permasalahan yang berat untuk diselesaikan, sewajarnya, kursus berperingkat khat seperti peringkat sijil atau pra diploma boleh diadakan secara separuh masa dan diwujudkan di bandar-bandar utama negeri. Kerana kini kita mempunyai ramai tokoh khat berkaliber di setiap negeri, serapkan mereka sebagai pengajar kontrak sampingan di institusi khat setiap negeri, bagi mereka, menyampaikan ilmu lebih penting daripada bayaran, contoh tokoh khat berkaliber seperti U. Nik Abdul Rahman Zaki ( Kelantan ) , U. Hilyas ( Terengganu ), U. Abd Baki ( Selangor & Wilayah Persekutuan ), U. Jinal Sakiban ( Johor, Melaka & N. Sembilan ), U. Hasrul ( Pulau Pinang & Perak ) dan ramai lagi.
Insya Allah, kalau diwujudkan kembali tradisi penulisan Jawi, saya yakin penulisan Khat dapat kembali bernafas, sehebat era Abdullah Munsti, Syed Hussein al-Attas, dan Syed Mahadhar ( Syihabuddin ). Insya Allah. kini mereka menjadi lagenda kepada kita semua, begitu juga tokoh negeri sebagaimana mereka ada sekarang, ingatlah suatu masa nanti mereka bakal menjadi lagenda bagi peminat Khat.

Isnin, 22 September 2008

Teknik-teknik Penulisan Khat

Teknik Penulisan Khat

Sebelum menulis khat, beberapa kaedah yang perlu diketahui. Sebagaimana di dalam rajah.
Sebagaimana di dalam rajah. Berikut kertas yang sesuai digunakan dan amatlah digalakkan membuat kertas ini.

Cara membuat:

  • Sediakan kertas bersaiz A3/A4.
  • Celup ke dalam larutan air tea ( Jangan campur gula, biarkan teh itu berwarna gelap )
  • Keringkan, kemudian sapu dengan putih telor
  • Keringkan lagi, dan sapu dengan larutan kanji yang sedang panas
  • Keringkan, sehingga betul-betul kering
  • Sebelum menulis, geselkan kertas dengan permata cincin seperti delima, atau zamrud bagi memastikan kertas tersebut licin.

Seterusnya, sebelum menulis, adalah baik kiranya kalau dilakarkan terlebih dahulu kaedah yang mahu ditulis.

Sebagai contoh, ayat di atas.

Setelah itu, Gunakan Qalam/handam yang khas, iaitu dari kayu paku pakis Resam

Inilah gaya penulisan saya. Sekarang, berdasarkan rajah, saya sedang menarik ekor huruf Siin.


Karya yang hampir siap.
Beginilah karya saya yang telah siap. Kalau mahukan kekemasan yang lebih, moleklah difremkan karya tersebut

Salam Perkenalan Dari Penulis Blog ini



Assalamualaikum..

Salam perkenalan buat semua yang melihat bloh ini. Perlulah diketahui, blog keindahan khat ini merupakan satu pendekatan dalam meningkatkan produktiviti penulisan khat di Malaysia.

Selain daripada callidesign, dan ircica, blog ini akan memuatkan kaedah-kaedah serat cara betul penulisan khat bagi tatapan awam. Seterusnya, penulisan khat yang ada di dalam blog saya ini semuanya hasil tulisan saya sendiri serta dirujuk kepada al-Fadhil ustaz Nik Abdul Rahman Zaki.
Muqaddimah

Kita bermula dengan pengenalan khat Arab, hendaklah diketahui, sejarah penulisan khat arab telah bermula semenjak zaman sebelum kelahiran Rasulallah lagi (Dr. Mustafa, Mu'jam Khat al-Arabi. 1995 ). Permulaan awalnya, khat arab didapati dalam penulisan khat kufi yang tidak mempunyai baris serta titik.

Semasa zaman saiyyidina Othman R.A. Khat Arab mengalami perubahan apabila pengumpulan Mushaf Al-Quran yang terkumpul pada zaman Khalifah Abu Bakar dikemaskinikan kerana Islam telah berkembang sehingga ke Farsi, dan negara-negara sekitar Jazirah Arabiah.

Semasa zaman inilah, al-Quran disalin dalam bentuk tulisan Khat Kufi diberi nama Kufi Mushaf atau Kufi Qadim. Perbezaan dengan kufi sebelum Islam, semasa zaman Othman R.A, Khat kufi ini semakin dimudahkan untuk orang membacanya, antaranya titik pada Nun , perbezaan "Ba, Ta' danTha'".


Perkembangan Penulisan Khat

Selepas zaman Othman R.A, dan juga era Khulafa Al-Rasyidin beralih kepada era pemerintahan Bani Umayyah. Islam semakin bertebaran dan semakin luas empayar juga jajahan takluknya. Begitu juga penulisan khat. Semakin hari semakin timbul pelbagai jenis tulisan. Antaranya Muhaqqaq, Raihani, Nasakh, Kufi Murabbat, dan pelbagai lagi.

Mushaf Othmani semakin diperkemaskan lagi atas arahan Gabenor Hajjaj Yusuf Al-Thaqafi salah seorang berjasa besar dalam perletakan titik dan juga baris dalam al-Quran. Penyalinan kebanyakan Mushaf Al-Quran juga banyak diubah daripada Kufi kepada khat Nasakh. Hal ini demikian kerana, tulisannya yang halus serta mudah dibaca berbanding dengan khat-khat yang lain.

Jenis-jenis Tulisan Khat

Kita bermula dengan pengenalan jenis-jenis tulisan khat. Khat yang pertama sangat mashur adalah khat Thuluth atau dikenali juga sebagai Umm Al-Khat. Jenis tulisan ini sangat mudah di dapati di masjid-masjid, di dalam Mushaf al-Quran bahagian hiasan. Dan pelbagai lagi.

Jenis khat yang kedua mashur, adalah khat Nasakh. Khat ini merupakan khat utama dalam penyalinan mushaf al-Quran, antara faktor yang menjadikan khat nasakh sebagai khat utama dalam penyalinan mushaf kerana tulisan yang jelas, cantik, seragam dan tidak mempunyai hiasan yang terlampau.

Khat ketiga adalah khat Riqa'ah atau sebutan melayu Riqa'. Khat Riq'ah adalah khat yang sangat lembut dalam kaedah penulisannya. Walaupun nampak khat ini agak bersegi atau kasar, tetapi cara gerakan mata qalamnya adalah sangat halus berbanding dengan nasakh atau Thuluth.

Khat keempat adalah khat Farisi, khat ini digunakan secara meluas di negara Iran, Pakistan, Turki dan India. Selain itu juga, khat Diwani banyak digunakan di negara-negara tersebut.

Sembang Yahoo Online